Shahidan Syed Saddiq hijrah UMNO kuat veteran pengampunan BN PH PRN
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Tuduhan pihak tertentu bahawa empat Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didalangi broker politik adalah alasan dangkal untuk menutup kelemahan kepimpinan pentadbiran parti mereka.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya meramalkan beberapa orang lagi Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan yang sama seperti Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli dalam masa terdekat.

“Veteran UMNO menyeru pembangkang supaya berhenti menyalahkan kerajaan ekoran empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri.

“Sebaliknya PN sepatutnya menjaga dan mengawal Ahli Parlimen mereka supaya tidak mengambil tindakan menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, empat Ahli Parlimen dari Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri.

Semalam, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, tindakan keempat-empat Ahli Parlimen terbabit didalangi broker politik.

Bersatu telah mengambil tindakan disiplin terhadap Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili dengan menggantung keahlian mereka.

Mustapha menambah, Veteran UMNO melihat tindakan keempat-empat Ahli Parlimen itu sebagai sesuatu yang wajar kerana mereka lebih mementingkan kebajikan rakyat dan kestabilan politik.

Menurut beliau, mereka tahu bahawa Bersatu dan PN tidak mampu untuk merealisasikan segala janji yang ditabur semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Mereka juga sedar bahawa kemenangan mereka dengan ihsan penyokong Pas dan bukan atas kekuatan Bersatu.

“Hakikatnya mereka kecewa dengan kemenangan itu kalau sekadar menjadi YB tetapi tidak dapat menyumbang khidmat kepada rakyat dan pengundi kawasan mereka. Jadi jalan yang terbuka adalah dengan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri,” jelasnya. – MalaysiaGazette