Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika hadir pada Program PLATFROM MG Edisi 2 Suara Malaysia Untuk Palestin di Pusat beli belah Datum Jelatek di Pusat beli belah Datum Jelatek di Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan setiap pihak harus berusaha untuk mementingkan soal kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, apa yang sedang dilakukan oleh Israel di Gaza harus dihentikan segera demi kemanusiaan.

“Dalam soal Gaza, kita boleh melakukan sesuatu dengan memberi tekanan kepada kerajaan di seluruh dunia untuk sentiasa menitikberatkan undang-undang antarabangsa kerana hari ini kita lihat secara jelas segala resolusi dibuat di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) membabitkan desakan gencatan senjata di Gaza tidak pernah diendahkan oleh Israel.

“Undang-undang antarabangsa dibiarkan dicabul oleh rejim zionis tanpa sebarang tindakan kerana ada negara- negara kuasa besar yang menyokong mereka.

“Hari ini kita dapat berhubung dengan rakan kita di sana membuka mata mengenai kekejaman yang berlaku kepada rakyat Palestin dan tentunya memberi tekanan kepada kerajaan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Forum Suara Malaysia untuk Palestin di ibu negra malam tadi.

Naib Pengerusi Perikatan Nasional yang dikenali sebagai Peja itu juga gembira dengan usaha MalaysiaGazette menganjurkan Forum Suara Malaysia untuk Palestin yang penting dalam menyatakan suara solidariti menentang kekejaman keganasan rejim zionis Israel di Gaza.

Beliau dalam perkembangan berkaitan menyatakan harapan suatu hari nanti kuasa-kuasa besar dunia akan bersama dengan Malaysia dan menolak kekejaman dan kezaliman Israel di bumi Palestin dan menganggap peperangan sebagai satu jenayah.

Ditanya mengenai inisiatif partinya untuk membawa usul membahaskan isu Palestin di Parlimen seperti didesak oleh semua organisasi dan NGO Islam di negara ini, beliau berkata, ia merupakan satu perkara yang baik dan harus dilakukan segera.

“Dalam hal ini saya melihat tidak ada satu pun parti politik di Malaysia ini tidak sokong terhadap usaha dan perjuangan rakyat di Palestin maka jika ia dibahaskan di Parlimen ia akan menjadi mesej jelas dari negara kita kepada seluruh negara luar termasuk PBB.

“Harap perkara ini dapat dilakukan dan tentunya dapat sokongan daripada semua blok dalam kerajaan dan pembangkang dan harap satu percaya persetujuan dapat dicapai antara kedua belah pihak kerana ini isu penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast