Israel menyerang keseluruhan infrastruktur Gaza.

GAZA CITY – Penduduk Palestin di utara Gaza telah mengalami terputus bekalan makanan sejak tujuh hari lalu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, rakan kongsi keselamatan makanan agensi antarabangsa tidak dapat menyampaikan bantuan di bahagian utara.

Pengeboman pendudukan Israel yang sengit dan berterusan menyebabkan pekerja bantuan kemanusiaan menghadapi bahaya untuk berbuat demikian.

Katanya, tentera Israel telah menyasarkan dan memusnahkan semua cara hidup untuk orang awam di Gaza.

Ia menyebabkan 2.2 juta penduduk tidak mendapat bekalan air, makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas manusia.

“Sebagai contoh, sehingga 7 November, tiada kedai roti dibuka di utara disebabkan kekurangan bahan api, air dan tepung gandum, serangan yang disasarkan pada panel solar serta kerosakan yang dialami oleh banyak pihak,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, ratusan ribu rakyat Palestin di bandar Gaza dan kawasan lain di utara Semenanjung Gaza semakin teruk.

Sementara itu, Perbandaran Gaza memberi amaran tentang risiko banjir kumbahan akan berlaku di kawasan besar bandar itu termasuk kawasan kejiranan Al- Zeitoun dan Al-Daraj.

Ini kerana sekurang-kurangnya 65 stesen pam kumbahan di bandar Gaza dan kawasan utara tidak dapat beroperasi kerana ketiadaan bahan bakar untuk menjana elektrik.

“Semua agensi dan kakitangan kemanusiaan telah menghadapi kekangan yang ketara dalam menyediakan bantuan kemanusiaan, disebabkan pencerobohan pendudukan Israel yang berterusan.

“Sekatan pergerakan dan kekurangan bekalan elektrik, bahan api, air, ubat-ubatan, dan barangan keperluan lain.

“Rakan kongsi kemanusiaan tidak boleh mengakses dengan selamat orang yang memerlukan bantuan dan gudang tempat bekalan bantuan disimpan,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast