Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact Sdn Bhd, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil (kanan) dan Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM dan syarikat-syarikat industri di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2023.

KUALA SELANGOR – Syarikat Advance Pact Sdn Bhd (APSB) melangkah setapak lagi dalam bidang pembangunan peranti perubatan menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam yang termeterai hari ini.

Ia sekaligus membuka laluan kepada APSB untuk  melebarkan sayapnya sebagai syarikat penyedia perkhidmatan penyelenggaraan fasiliti dan biomedikal yang diterokainya sejak 19 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, projek pembangunan peranti perubatan iaitu ventilator mudah alih yang dibangunkan sejak April 2020 menjadi taruhan syarikat dalam kerjasama tersebut.

“Pada 2021, Centre of Mechanical Ventilation telah diwujudkan di Fakulti Perubatan, UiTM Sungai Buloh di mana ia dijadikan tempat untuk pelaksanaan semua aktiviti berkaitan dengan pembangunan peranti perubatan.

“Kerjasama dua pihak ini telah diteruskan lagi dengan pembangunan clinical trial protocol yang diketuai oleh Prof Dr. Mohammed Fauzi Abdul Rani. Kerjasama awalnya dibantu Prof Dr Anis Siham Zainal Abidin dan Dr Noor Hasnida @Juita Hassan.

“Kini disambung Dr. Isqandar Adnan selaku principal investigator yang bertanggungjawab untuk memastikan clinical trial process dilaksanakan mengikut protocol yang telah diluluskan,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil (kanan) dan Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim melakukan sesi pertukaran memorandum persefahaman antara UiTM dan syarikat-syarikat industri di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2023.

Hadir sama Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim.

Selain APSB  majlis menandatangani MoU itu juga mendapat kerjasama  dua lagi syarikat iaitu Mudah Healthcare Sdn. Bhd. dan MedAds Media Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact Sdn Bhd, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berucap pada Majlis menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman antara UiTM dan syarikat-syarikat industri di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2023.

Tambah Siti Ainol, projek pembangunan peranti perubatan mudah alih itu dijangka menghasilkan ventilator pertama keluaran APSB selewat-lewatnya pada akhir suku pertama tahun depan.

“Pihak syarikat kini sedang menunggu kelulusan akhir daripada Jawatankuasa Etika Penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan UiTM setelah kelulusan awal diperoleh daripada pihak fakulti pada awal September lepas.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar,  peranti perubatan pertama bakal dihasilkan di Malaysia oleh Advance Pact Sdn Bhd.

“Usaha dan hasil yang membanggakan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada pihak UiTM umumnya, dan Fakulti Perubatan UiTM khususnya,” katanya.

Katanya lagi, Advance Pact bercadang untuk melanjutkan kerjasama itu dalam beberapa lagi projek inovasi yang sedang diusahakan khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan.

“Advance Pact mengucapkan ribuan terima kasih dengan pihak UiTM kerana menjalinkan kerjasama hampir tiga tahun dan kami percaya akan melanjutkan beberapa projek inovasi yang sedang diusahakan khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast