BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menegaskan gangguan bekalan gula yang berlaku di sekitar Bukit Mertajam kelmarin berpunca daripada masalah logistik.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, kelewatan penghantaran berlaku disebabkan masalah lori bukan tiada bekalan gula.
“Kita terima aduan pada hari Rabu berhubung tiada bekalan gula di Bukit Mertajam dan siasatan kita mendapati ada asas dengan aduan tersebut.
“Namun isu itu telah selesai pada hari sama apabila penghantaran dibuat sebaik pihak pembekal menyelesaikan masalah logistik tersebut.
“Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan gula di negeri ini sentiasa mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 peringkat Pulau Pinang di Bukit Mertajam.
SHMMP yang dilaksanakan selama tujuh hari itu melibatkan lapan jenis barang kawalan; antaranya daging kambing biri-biru bertulang import, kelapa biji, kelapa parut,cili merah, tomato, dan kacang dal.
Tambah Jegan, pihaknya akan cuba bantu mana-mana peruncit yang menghadapi kekangan bekalan gula dengan mengarahkan pemborong utama untuk menghantar bekalan.
“Sehubungan itu, kita mohon kerjasama semua pihak termasuk peruncit jika ada masalah bekalan kita mohon untuk hubungi pihak KPDN untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jegan memaklumkan sejak 1 Januari hingga Rabu lalu sebanyak 44,674 premis telah diperiksa di seluruh negeri dan 744 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan membabitkan sitaan berjumlah RM3.12 juta dan kompaun sebanyak RM607,900.
“Dalam tempoh sama juga, sebanyak 2,023 aduan telah diterima dan 384 daripada membabitkan harga barangan dan perkhidmatan, 131 bekalan barang kawalan dan selebihnya lain-lain aduan,” katanya. – MalaysiaGazette