Buruh Indonesia dipenjara 10 bulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki serta menggunakan MyPR palsu sejak 23 tahun di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Seorang buruh Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memiliki serta menggunakan kad pengenalan Pemastautin tetap (MyPR) palsu sejak 23 tahun lalu.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairudin turut menetapkan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda terhadap tertuduh, Suardi, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan Suardi didapati memiliki dan mengguna MyPR palsu atas nama seorang lelaki Indonesia berusia 64 tahun.

Suardi mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini antara 8.30 pagi hingga 2 petang pada 8 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), jika disabitkan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, bapa kepada empat cahaya mata itu ditangkap susulan menggunakan MyPR palsu untuk memasuki sebuah kilang bagi melakukan kerja berkaitan pembinaan.

Semakan rekod menunjukkan no kad pengenalan MyPR itu milik seorang lelaki lain dan perbandingan kedua-dua cap ibu jari tertuduh juga tidak sepadan.

Suardi turut dikenakan penjara 12 bulan jika gagal bayar denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Samsul Ariffin Ahmad Zawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Mohd Samsul Ariffin memaklumkan tertuduh mengaku membeli MyPR palsu itu daripada rakannya di ibu negara pada tahun 2000 bagi mendapatkan kad perakuan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk bekerja sebagai buruh binaan.

Kata beliau, tertuduh memasuki negara pada 1996 dengan pasport sah yang akan tamat tahun depan selain telah memperoleh lanjutan tempoh pasport daripada kedutaan Indonesia sehingga 2033 menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Jabatan Imigresen Malaysia.

Mohd Samsul Ariffin kemudian meminta mahkamah memberikan hukuman maksima susulan tindakan tertuduh boleh mengugatkan keselamatan negara selain menjadi pengajaran agar dia tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Dalam rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan perlu menanggung seorang isteri serta empat orang anak di Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast