MANJUNG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang disyaki melibatkan bot nelayan di Jeti Jalan Besar Pangkor, Pulau Pangkor dekat sini, pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan tersebut adalah hasil risikan selama dua minggu anggotanya berhubung aktiviti pemindahan minyak diesel dari bot ke bot melibatkan penjualan dan pembelian dalam kuantiti yang banyak.
Menurutnya, operasi tersebut melibatkan enam anggota KPDN Manjung dengan kerjasama empat anggota Polis Marin dari Bot Ronda PAC24, Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Kampung Acheh, Sitiawan.
“Dalam serbuan sekitar jam 12.30 tengah hari itu, didapati dua lelaki sedang melakukan pindahan minyak diesel dari dua bot.
“Ketika pemeriksaan lanjut dilakukan, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 71 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen melibatkan lesen atau permit pengendalian barang kawalan minyak diesel.
“Sehubungan itu, kedua-dua bot dan cecair yang disyaki minyak diesel sebanyak 4,600 liter telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM381,500,” katanya kepada media lewat malam tadi.
Beliau berkata kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” ujarnya. – MalaysiaGazette