KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menggerakkan lebih 2,200 orang anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Ia bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.
Pemeriksaan setiap hari adalah melibatkan hampir 1,500 premis meliputi pasar basah, pasar raya besar dan pasar raua, pasar mini dan kedai runcit seluruh negara.
KPDN telah mengeluarkan arahan bagi menjalankan pemeriksaan harga Ayam Standard di peringkat peruncit dan Surat Pemberitahuan Pematuhan terhadap Akta Kawalan dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada peniaga bagi tujuan tindakan pemantauan ke atas barangan yang mengalami peningkatan peratus keuntungan dan harga barangan.
Berdasarkan pelaporan arahan tersebut bermula dari 1 hingga 6 November 2023, sebanyak 483 pemeriksaan ke atas premis peruncit dijalankan di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut tiada kes dihasilkan, katanya dalam satu kenyataan.
KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga telah mengambil langkah proaktif membantu rakyat melalui pelbagai tindakan inisiatif dengan mengadakan Jualan
Agro MADANI dan Program Jualan Rahmah lokasi-lokasi seluruh Malaysia sehingga Disember 2023.
“Kerajaan akan terus memantau dan melaksanakan penguatkuasaan demi untuk menjamin kestabilan harga dan bekalan ayam di samping mempertingkatkan program-program jualan yang dapat membantu rakyat menangani kos sara hidup seterusnya memperbaiki taraf sosio-ekonomi Malaysia,” kata kenyataan yang sama.
Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Oktober 2023 telah bersetuju untuk menamatkan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula pada 1 November 2023.
Penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil dan menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling. – MalaysiaGazette