KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan enam notis berkaitan kenaikan harga barangan bukan dalam senarai kawalan di Pulau Pinang menjelang sambutan Deepavali hujung minggu ini.
Menurut timbalan menterinya, Fuziah Salleh, pihaknya telah menerima aduan daripada Persatuan Hindu Pulau Pinang tentang kenaikan harga melampau bagi 29 unit simpanan stok (SKU).
Antara barangan tersebut adalah serbuk kari ikan timbang, cili kering, tepung gandum, tepung beras, ketupat dan minyak sapi.
“Kerana sempena Deepavali ini kita kawal lapan jenis barangan sahaja selain barang yang dikawal harga sebelum ini tapi di Pulau Pinang ada kenaikan harga bagi SKU tersebut di luar kewajaran. Jadi kita sudah keluarkan enam notis iaitu lima di Butterworth dan satu di Timur Laut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di Pasar Awam dan Lotus’s Indera Mahkota di sini pagi ini.
Jelas Fuziah, pihak terlibat perlu memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga barangan tersebut kepada KPDN sebelum notis kompaun dikeluarkan.
“Sebab kita periksa kadar kenaikan bagi tempoh setahun, jadi kita tahu jika kenaikan itu mendadak. Sekiranya kenaikan harga barangan itu tidak wajar maka Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 boleh dikenakan,” ujarnya.
Sementara itu, Fuziah turut mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam selepas pengapungan harga komoditi itu sejak 1 November lalu.
Katanya, pemantauan harga akan diteruskan oleh 2,200 anggota Penguatkuasa KPDN bersama 900 Pegawai Pemantau Harga, terutamanya selepas pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali dilancarkan Isnin lalu. – MalaysiaGazette