Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Bangunan Annexe, Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 10 NOVEMBER 2023.

SHAH ALAM – Berita baik buat penjawat awam di Selangor.

Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini akan memberi insentif Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2023 sebanyak dua bulan setengah gaji.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia sebagai menghargai penjawat awam dan mereka yang terlibat bagi menjayakan kutipan hasil kerajaan negeri.

Beliau berkata, penjawat awam menikmati tiga insentif itu termasuk BKK kali pertama sebanyak sebulan gaji minimum RM1,000 dan ia telah dilaksanakan sempena Hari Raya Aidilfitri 1444H / 2023 lalu.

“Bagi BKK kali kedua, insentif sebulan gaji minimum RM1,000 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM40.03 juta yang akan dibayar pada 28 Disember 2023.

“Manakala BKK ketiga pula iaitu setengah bulan gaji minimum RM1,000 akan dibayar pada Februari 2024 bagi meringankan beban para penjawat sempena persiapan sesi persekolahan 2024 dijangka bermula pada Mac 2024,” katanya berucap ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, pemberian BKK akan dilaksanakan berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia.

“Syarat yang paling penting, kena tunggu di dalam dewan ini sehingga belanjawan selesai dibentangkan dan disokong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette