Musa Awang
Musa Awang

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik pengumuman kerajaan  tiada fi atau caj dikenakan terhadap peguam syarie di Wilayah Persekutuan tahun depan.

Presidennnya, Musa Awang berkata, pengecualian fi tersebut amat dihargai oleh peguam-peguam syarie yang turut terkesan dengan situasi ekonomi negara dan seluruh dunia.

“Walaupun peguam syarie adalah kerjaya profesional namun majoriti peguam syarie adalah pemilik atau rakan kongsi firma yang juga merupakan suatu perniagaan yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa.

“Kami juga berharap agar majlis agama Islam negeri-negeri dapat mempertimbangkan untuk mengambil langkah yang sama dengan mengecualikan fi pembaharuan Sijil Amalan Tahunan Peguam Syarie di negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengumumkan pengecualian fi atau caj tersebut di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie 2019 [Akta 814].

Musa menambah, PGSM turut mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan Mohd Na’im sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai pentadbiran agama Islam di Wilayah Persekutuan.

“Pengecualian tersebut juga selari dengan peruntukan dalam Akta Profesion Guaman Syarie (WWP) 2019 (Akta 814) yang memberikan kuasa kepada menteri untuk menetapkan fi di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 akta tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast