Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Pekerja yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan sistem Tren Aliran Transit Ringan (LRT) terkejut dengan penemuan rangka manusia di Subang Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis pada 12.15 tengah hari menerima laporan penemuan rangka manusia itu di kawasan belukar berhampiran sub stesen LRT Putra Heights.

Dalam laporan itu, pengadu  menemui rangka manusia selepas selesai menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sistem LRT di stesen tersebut.

“Siasatan awal polis ke lokasi penemuannya mendapati rangka manusia yang masih lengkap berpakaian baju T warna biru, baju singlet berwarna putih dan berseluar jeans panjang berwarna biru ditemukan di kawasan belukar dibawah jambatan Jalan Persiaran Putra Harmoni, Putra Height.

“Polis juga menjalankan pemeriksaan pada bahagian seluar sebelum menjumpai dompet di dalam poket hadapan seluar dan semakan di dalam dompet tersebut terdapat dua keping kad pengenalan diri warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Riki Mandaguna berumur 40 tahun dan berasal dari Kota Samarinda, Kisaran Indonesia.

Selain itu, katanya, pemeriksaan lanjut polis turut menjumpai bersebelahan dengan rangka si mati, satu beg galas berwarna hitam mengandungi barang-barang keperluan diri seperti pakaian disyaki milik si mati.

“Hasil siasatan yang dijalankan di tempat kejadian berkemungkinan masa kejadian berlaku di antara tiga hingga enam minggu dari tarikh rangka dijumpai.

“Rangka manusia ini telah dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca kematiannya,” katanya.

Buat masa ini kes ini diklasifikasikan dan disiasat sebagai sebagai mati mengejut  dan polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar menyalurkannya kepada Sarjan Ruzaizi A Ghani di talian 017-676 2338 atau menghubungi balai polis Putra Heights di talian 03-519 1374. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast