Tangkap layar dari video Permerhati Pengadil di laman X.

KUALA LUMPUR – Kancah bola sepak Malaysia kini semakin kerap disajikan dengan insiden pergaduhan sejak kebelakangan ini.

Terbaharu tular satu video berdurasi 16 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di antara pengurusan dan pemain kedua-dua pasukan.

Kejadian yang dikongsikan Permerhati Pengadil di laman X itu difahamkan berlaku bagi aksi Liga M5 Putrajaya.

Namun pergaduhan tersebut tidak melibatkan pengadil.

Jika dilihat video yang tular tersebut, terdapat beberapa pemain dan pengurusan pasukan yang tolak-menolak satu sama lain selain ada juga cubaan menumbuk.

Pengadil cuba memainkan peranan penting dengan cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Ini bukanlah insiden pergaduhan pertama yang berlaku dalam bola sepak tempatan minggu ini.

Sebelum ini, Liga Suparimau yang merupakan pertandingan bola sepak remaja turut dicemari dengan insinde pergaduhan.

Insiden tersebut jelas mengundang rasa kecewa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang kini sedang menunggu laporan penuh daripada pihak penganjur.

Jika ia melibatkan pihak berkuasa seperti polis, kes ini akan disegerakan. – MalaysiaGazette