Sarasupathi menunjukkan muruku yang dihasilkan untuk dijual sempena psambutan Deepavali.

SEREMBAN – Meskipun orang ramai mengambil pendekatan berhati-hati ketika berbelanja dalam ekonomi yang mencabar sekarang, seorang pengusaha muruki gembira kerana masih mendapat permintaan memberangsangkan menjelang sambutan perayaan Deepavali.

S. Sarasupathi yang mengusahakan makanan tradisional itu di Seremban berkata, muruku yang dihasilkannya masih mendapat permintaan baik.

Beliau yang sudah mengusahakan perniagaan ini sejak enam tahun lalu memberitahu, walaupun harga barangan mentah meningkat tapi dia masih mengekalkan harga muruku yang dijualnya.

Kenaikan cukup dirasai harga mentega, minyak masak dan tepung muruku serta upah pekerja.

“Kalau mengikut keadaan semasa, saya memang berhasrat untuk menaikkan harga muruku tetapi melihat cabaran ekonomi semasa saya menangguhkannya.

“Oleh itu, saya cukup berhati-hati berbelanja bahan-bahan mentah kerana banyak barang keperluan naik harga. Saya pula perlu mengekalkan harga supaya pembeli saya tidak terbeban,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Wanita ini berkata, dia hanya menjual antara RM25 hingga RM30 sebalang bergantung kepada saiz bekas.

Sarasupathi, 39, menambah, dia mula membuat tempahan muruku dalam beberapa minggu awal sebelum Deepavali .

Dia yang dibantu oleh dua orang pembantunya membeli sebanyak 30 kilogram tepung muruku untuk tempahan Deepavali.

Muruku yang dihasilkan Sarasupathi bukan sahaja dibeli oleh pelanggan di sekitar Negeri Sembilan tetapi juga dari negeri-negeri lain.

“Saya gembira walaupun perniagaan ini dibuat secara kecil-kecilan tetapi saya dapat menjana pendapatan tambahan,” katanya yang sudah menjual 120 balang muruku menjelang Deepavali dan masih menghabiskan baki tempahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast