KUALA LUMPUR – Agensi sektor awam perlu menyokong agenda kerajaan dari semasa ke semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, setiap warga kerja dalam organisasi kerajaan perlu memupuk pengembangan idea strategik dan tuntas daripada kepelbagaian perspektif untuk menyokong kemampanan organisasi.
“Kerajaan Madani pada hari ini menekankan kemampanan dan kesejahteraan manusia secara holistik supaya dasar Kerajaan dan pelaksanaannya memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini kerana kita berdepan dengan dunia yang masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan, kerancakan perdagangan ekonomi sejagat kian terbantut dan krisis iklim serta persekitaran yang berada di tahap genting,” katanya dalam ucapan Anugerah Kecemerlangan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan 2023 di ibu negara, malam tadi.
Ucapan Anwar disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Pembangunan dan Keraajan Tempatan, Nga Kor Ning dan timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Anwar berkata, sebagai jentera kerajaan yang bertanggungjawab dalam penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang, kakitangan awam hendaklah berfungsi secara tuntas bersama-sama kerajaan.
Jelas Anwar, Pelan Perindustrian Negara, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia dan Belanjawan Madani tidak akan dapat diterjemahkan sepenuhnya, jika tidak dilaksanakan oleh perkhidmatan yang dinamik dan aggresif.
“Kemampanan dan tata kelola perkhidmatan awam perlu lebih ampuh dalam menoktahkan persepsi negatif dan kebejatan perkhidmatan awam,” katanya.
Dalam acara sama, Kor Ming berkata, beliau berbangga kerana Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan sering menjadi perintis dalam melaksanakan program dan inisiatif kerajaan serta perkhidmatan awam.
Antaranya pelaksanaan MyMudah, Bitara Madani, Enterprise Architecture (EA), Ease of Doing Business melalui OSC 3.0 dan Business Ready.
“Ini menunjukkan organisasi kita sentiasa proaktif, produktif dan sentiasa mendahului dalam banyak segi.
“Sejak awal menanggung amanah sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, KPKT harus muncul sebagai pusat kecemerlangan,” katanya.
Menurut Kor Ming, AKM 2023 yang julung-julung kalinya diadakan merupakan usaha untuk memangkin budaya kerja positif, berdaya saing serta meningkatkan produktiviti berpaksikan integriti.
Ia bagi meneruskan usaha KPKT untuk muncul sebagai sebuah organisasi yang cekap dan berprestasi tinggi dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya.
“KPKT dalam usaha untuk terus menjadi sebuah organisasi yang cekap, unggul dan berprestasi tinggi dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya, sentiasa memperkukuh kemahiran, kecekapan dan pengetahuan warga kerja dalam melestari penyampaian perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.
KPKT memilih Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk K. Jayaselan sebagai penerima Anugerah Keunggulan Menteri.
Jayaselan menerima anugerah tersebut atas usaha jabatan tersebut dalam memfokuskan kepada penyelesaian projek terbengkalai.
“Dalam jabatan kami seorang kami fokus pada projek terbengkalai yang Menteri terlibat dan kita cuba setiap bulan untuk memulihkan projek yang sakit dan sebagainya.
“Kita sedang mengemaskini sistem kita yang mana untuk bantu proses permohonan lesen dan permit jualan, kita juga kemaskini supaya lesen yang dikeluarkan itu tidak ada lagi projek sakit pada tahun hadapan. Pada 2025 kita akan berusaha untuk memastikan projek yang dapat lesen selepas 2025, ada keyakinan projek itu akan siap,” katanya.
Anugerah Hati Emas pula milik Ketua Balai Bomba Likas, Agustavia Joe Guasi.
Beliau dipilih atas perkhidmatan cemelarlangnya dalam program kemasyarakatan dan khidmat masyarakat yang disumbangkan beliau di sekitar Likas.
“Saya telah melaksana banyak projek dan program masyarakat dan khidmat komuniti di sekeliling Balai Bomba dan Penyelamat Likas.
“Saya juga berkerjasama dengan agensi-agensi yang memerlukan bantuan daripada JBPM, itu adalah antara penyumbang kepada kejayaan saya.
“Anugerah ini akan jadi pemangkin kepada kerjaya saya dan sangat teruja untuk melakukan khidmat kemasyarakatan yang boleh bantu komuniti di kawasan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diangkat sebagai Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik bagi KPKT.
Datuk Bandarnya, Datuk Rumaizi Baharin berkata, konsep bandar pintar yang digerakkan selama ini membuahkan hasil apabila dianugerahkan sebagai penenang Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik KPKT.
“Yang kita bangunkan menjadikan Ipoh sebagai bandar hijau di peringkat Asia Tenggara dan yang pertama menggerakkan konsep bandar pintar di Malaysia.
“Kita awal tahun ini mendapat Anugerah PBT kedua terbaik dalam negara,” kata Rumaizi.
Penerima anugerah menerima penghargaan dan ganjaran dalam bentuk hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000, sijil penghargaan, trofi dan kursus jangka pendek di universiti ternama di luar negara bagi kategori terpilih. – MalaysiaGazette