Bangunan pentadbiran MOSTI di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau konsultan untuk menyampaikan sebarang informasi atau hebahan mengenai skim dana R&D MOSTI kepada umum.

MOSTI juga tidak pernah menganjurkan sebarang bengkel yang menuntut pembayaran daripada orang awam.

“Kejayaan sesuatu permohonan pembiayaan dana R&D MOSTI adalah tertakluk kepada pematuhan kepada semua syarat dan kriteria yang ditetapkan serta syor oleh
panel pakar penilai yang dilantik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan ini dibuat selepas MOSTI menerima beberapa pertanyaan berkaitan dengan kes penipuan berhubung penganjuran Bengkel Bimbingan dan Fasilitasi Permohonan Geran Applied Innovation Fund dan Sistem Dana Bersepadu.

Bengkel tersebut dikatakan boleh menjanjikan kelulusan pembiayaan dana Applied Innovation (AIF) oleh MOSTI apabila menyertai bengkel yang mengenakan yuran
sebanyak RM1,800.00.

Oleh yang demikian, MOSTI ingin menasihati orang awam supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan hebahan yang menjanjikan perkara yang tidak tepat
dan tidak munasabah, selain sentiasa menyemak maklumat terkini.

Sebarang maklumat berkaitan pembiayaan dana R&D MOSTI di platform Sistem Dana Bersepadu di pautan sdb.mosti.gov.my. – MalaysiaGazette