Dr Mohamad Darwish

JOHOR BAHRU – Semua pemimpin Islam di seluruh dunia perlu melakukan desakan supaya sempadan Rafah di Mesir dibuka untuk bantuan kemanusiaan.

Pensyarah Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohamad Darwish berkata, langkah itu memastikan ribuan lori yang menanti untuk membawa barang keperluan dan bantuan dibenarkan masuk segera ke Palestin.

Katanya, keadaan Palestin semakin terdesak dan penduduk negara it u memerlukan bantuan makanan serta keperluan kesihatan selepas hospital awam di sana dimusnah oleh tentera Zionis.

“Kemusnahan hospital menyebabkan tahap kesihatan di sana sangat meruncing dan penutupan sempadan melambatkan misi bantuan kemanusiaan. Paling terkesan, ramai bayi di hospital mula kehilangan nyawa disebabkan bekalan utiliti termasuk bekalan minyak petrol sudah disekat.

“Cara yang paling mudah dan cepat untuk memberi bantuan kepada Gaza adalah melalui sempadan Rafah, kami rayu supaya buka sempadan Rafah secepat mungkin kerana apa yang saya tahu, sempadan Rafah masih ditutup dalam usaha untuk menghantar bekalan perubatan dan bantuan keperluan lain.

“Kami dapat tahu ratusan atau ribuan ribu lori sedang menanti untuk masuk sempadan Rafah tetapi tidak tahu pihak yang mana menghalang lori-lori itu masuk, sepatutnya sempadan Rafah dikawal pihak berkuasa Mesir dan bukan Zionis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada  selepas  ditemui media di Himpunan Aman Solidariti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai Prihatin Palestin di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat; Pengurus MyCARE Johor, Rodzi Abdul Ghani; Penasihat Ummah Johor Idrus Shaik dan Setiausaha Persatuan Kebajikan Infaq Johor Bahru, Johari Abdul Aziz.

Dr Mohamad Darwish yang berasal dari Palestin sudah  menetap 10 tahun di Malaysia bersama isteri dan empat anak berusia empat hingga 12 tahun.

Katanya, dia masih menunggu perkhabaran keluarga masing-masing di Gaza.

Kali terakhir dia berhubung dengan ibu, bapa serta keluarga kakak dan abangnya adalah minggu lalu.

“Keadaan di Gaza ketika ini amat sukar, tiada elektrik, tiada air, tiada minyak dan makanan. Keluarga saya tinggal dalam satu rumah untuk bantu sesama mereka.

“Saya cuba hubungi mereka setiap hari, tetapi sejak minggu lalu saya tidak dapat berhubung dengan mereka. Semoga Allah melindungi mereka,” ujarnya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast