KUBANG PASU – Seramai 43 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di sini, susulan banjir kilat malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, kesemua mangsa dari Kampung Paya Tok Keong, Paya Tok Teh serta Kampung Biak di Mukim Malau itu dipindahkan ke PPS berkenaan bermula jam 10.25 malam.
“Hujan lebat lebih tiga jam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.
“Selepas mendapat maklumat air mula naik anggota kita digerakkan ke lokasi untuk melakukan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.
“Bilangan mangsa yang dipindahkan ke PPS terdiri daripada 14 wanita dewasa, kanak-kanak (14), lelaki dewasa (8), warga emas (5) dan orang kelainan upaya (2),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, paras air sungai ketika ini semakin naik dan anggotanya sedang melakukan pemantauan di kawasan terjejas. – MalaysiaGazette