JOHOR BAHRU – Dua pengarah di sebuah syarikat hari ini dituduh atas empat tuduhan di Mahkamah Sesyen kerana mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu berkaitan permohonan Insentif Pengambilan Pekerja Perkeso membabitkan jumlah RM62,120, dua tahun lalu.
Bagaimanapun P Poowesna, 35, dan A Mohana Sundharam, 34, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan kedua-duanya didakwa mencapai niat bersama memberikan dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan TMB Resources bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dokumen itu untuk diserahkan kepada pegawai Perkeso dengan niat hendak memperdayakan agensi itu, yang mana mereka tahu dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja.
Ia kerana 10 penama dalam borang terbabit bukan pekerja syarikat berkenaan.
Perbuatan itu dilakukan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso pada 30 Mei 2021.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli memaklumkan mahkamah bahawa perbuatan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah di bawah kesalahan tidak boleh dijamin.
Beliau bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dengan dua syarat tambahan sekiranya dibenarkan mahkamah.-MalaysiaGazette