KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang ‘membeli-belah’ empat Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang kesal dengan amalan tersebut berkata, kerajaan sebelum ini menyatakan keyakinan tinggi telah memiliki sokongan 148 kerusi di Parlimen dan sepatutnya mereka memperkukuhkan kedudukan dua pertiga itu.
Bidas beliau lagi, usaha menarik sokongan wakil rakyat PN tidak seharus berlaku kerana kerajaan selama ini bersungguh-sungguh memperjuangkan integriti dan melakukan reformasi pentadbiran di negara ini.
“Patutnya kerajaan dah ada kedudukan yang kukuh, katanya melebihi 148 kerusi, sepatutnya tak perlu (beli wakil rakyat). Mengapa masih berlaku perkara begini?
“Tidak yakin ke? Mungkin boleh jatuh bila-bila masa walaupun ada dua pertiga…sebab itu dia mula shopping. Ini pandangan peribadi saya.
“Kenapa dia shopping sedangkan kata dah ada dua pertiga majoriti, 148 kerusi dalam Dewan Rakyat. Kalau begitu, tak perlu, mantapkan 148 sudahlah.
“Bawalah undang-undang yang memerlukan dua pertiga kalau dia anak jantan, kalau dia yakin, bawalah. Itu kita cabar,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, empat Ahli Parlimen dari Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Mengulas lanjut, Awang juga memberi amaran bahawa empat Ahli Parlimen PN hanya menyatakan sokongan dan bukan menyertai kerajaan.
Jelas beliau, situasi itu juga membolehkan mereka menarik sokongan kepada Anwar pada bila-bila pada masa akan datang.
Awang juga tidak percaya dengan alasan sokongan dibuat itu demi kebajikan rakyat di Parlimen masing-masing
“Saya rasa itu cuma alasan. Kami sudah lama, tiada duit pun okey. Kami boleh turun, servis kepada rakyat, terangkan apa yang berlaku.
“Rakyat tiada masalah, rakyat faham,” katanya. – MalaysiaGazette