Mohamad Fazli ketika melawat tapak pemindahan kuil di Taman Eko Flora hari ini.

JOHOR BAHRU – “Lapor pada ketua kampung, penghulu dan pejabat daerah agar tindakan segera diambil.”

Itu saranan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang mengingatkan penduduk agar  membuat aduan sekiranya parit atau sungai di kawasan mereka masih tidak diselenggara.

Ia bagi mengelakkan banjir menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini sehingga Mac 2024.

Selain itu, Mohamad Fazli mahu penduduk juga boleh membuat aduan melalui media sosial untuk maklumat pihak berwajib untuk memudahkan urusan kepada pihak berwajib.

“Maklumkan sahaja jika ada sungai atau parit yang masih belum selenggara. Maklum kepada pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan  kita akan ambil tindakan segera.

“Bagaimanapun apa yang dapat saya katakan setakat ini kebanyakan sungai dan parit sudah selenggara yang mana jika dilihat pihak JBS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta PBT (pihak berkuasa tempatan) pun sama sudah lakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Usaha ini dilakukan selepas kita ambil iktibar semasa banjir pada Mac lalu, isunya adalah jika air hujan melebihi kapasiti saliran sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke tapak pemindahan kuil di Taman Eko Flora di sini hari ini.

Menyentuh soal jalan yang rosak akibat banjir di seluruh negeri pada Mac lalu, beliau berkata, kerja-kerja baik pulih akan dilakukan secara berfasa.

Selain ada antaranya sudah siap, sedang dibaiki dan ada pula menunggu untuk dinaik taraf.

Beliau berkata, keseluruhanya memerlukan peruntukan RM160 juta dan suku daripadanya sudah diperoleh dengan kerosakan paling teruk adalah di Segamat.

“Kerosakan itu   bukan sahaja membabitkan struktur dan permukaan jalan tetapi juga parit serta cerun runtuh selain perlu menggantikan culvert yang rosak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, tiga kuil akan dipindahkan ke tapak tersebut kerana lokasi asal rumah ibadat terbabit terlibat pembinaan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru yang dijadual beroperasi menjelang April 2025.

“Sepatutnya tiga kuil berkenaan siap dipindahkan pada 1 November lalu tetapi selepas mengambil kira sambutan perayaan Deepavali, proses itu ditangguhkan sehingga 16 November ini.

“Kalau ikut rekod kita, 1,265 rumah setinggan sudah dipindahkan bermula 2011 dan 65 rumah ibadat juga sudah dipindahkan melibatkan enam surau, 15 tokong dan 41 kuil. Tapak yang ada pada hari ini adalah tiga kuil terakhir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast