Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua transaksi Maybank daripada aplikasi dan platform web Maybank2u Biz akan memerlukan pengesahan Secure2u.

Semua pemegang akaun Maybank2u Biz disyorkan untuk mengaktifkan pengesahan Secure2u sebelum 26 November 2023.

Sebarang pengaktifan Secure2u untuk aplikasi Maybank2u Biz selepas 26 November 2023 memerlukan tempoh pengaktifan minimum 12 jam.

Secure2u pada Maybank2u Biz menggariskan komitmen Maybank untuk menyampaikan penyelesaian perbankan yang selamat dan mudah bagi membendung urus niaga tanpa
kebenaran dan aktiviti penipuan terhadap pelanggan, sejajar dengan teras strategik
Maybank untuk M25+ dalam mempergiatkan tumpuan pelanggannya.

John Chong

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata, pengesahan Secure2u pada Maybank2u Biz menunjukkan dedikasi bank tersebut memastikan transaksi kewangan pelanggan perniagaan.

“Kami mengambil semua langkah yang mungkin bagi melindungi sistem perbankan daripada penipu yang tidak bertanggungjawab, dengan melakukan semakan berkala dan meningkatkan ciri keselamatan.

“Maybank tidak berbelah bahagi terhadap komitmen kami untuk memajukan
keselamatan dan kecekapan perbankan dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, Maybank secara progresif melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi memastikan perlindungan terbaik untuk pelanggan mengikut arahan Bank Negara Malaysia dalam memerangi penipuan kewangan.

Ini termasuk memindahkan SMS TAC ke Secure2u, saluran aduan khusus untuk pelaporan insiden, pengesahan dan tempoh pengaktifan minimum 12 jam, peranti mudah alih tunggal bagi pengesahan dan mengaktifkan Secure2u di ATM untuk pendaftaran kali pertama dan peranti baharu untuk aplikasi MAE individu dan pengguna web M2U.

“Kami bertegas dalam memastikan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan untuk semua pelanggan,” ujarnya. – MalaysiaGazette