PUTRAJAYA – Rejim Zionis Israel berani melakukan keganasan secara terang-terangan di Gaza kerana ia menerima sokongan padu daripada Amerika Syarikat (AS).
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, AS telah memberi lampu hijau kepada Israel untuk terus melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin.
“Pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik secara terangan-terangan, itu dapat dilihat dalam dunia sekarang.
“Buka sahaja telefon, kita dapat berita terkini dan kita dapat memahami bahawa ini yang ‘boleh’ dilakukan oleh Israel,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan dan Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Badereddin Seyam.
Mohd Azmi memberitahu, serangan udara dan darat oleh tentera rejim Zionis Israel kini menyebabkan tiada lagi zon selamat di Gaza.
Menurut beliau, pengeboman juga dilakukan secara sistematik agar setiap meter persegi di wilayah yang paling padat penduduk di dunia itu musnah.
Sementara itu, Badereddin berkata, rakyat Palestin khususnya di Gaza amat menghargai usaha Malaysia membantu mereka yang sedang berdepan keganasan rejim Zionis Israel.
Beliau menambah, mereka tidak akan melupakan keprihatinan dan sumbangan yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia termasuk memberi liputan media yang meluas terhadap konflik di Gaza.
“Semoga anda semua diberkati Allah SWT dan teruskan sokongan anda terutamanya dalam usaha menamatkan pendudukan Israel,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan konkrit bagi memastikan bantuan kemanusiaan dan pasukan pengaman dapat memasuki Gaza.
“Ini adalah masa untuk bertindak, tiada lagi retorik. Tidak memadai dengan sekadar mengecam AS dan Israel,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di negara-negara Islam memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing untuk bertindak lebih tegas dalam membantu penduduk Gaza yang kini diancam krisis kemanusiaan. – MalaysiaGazette