JOHOR BAHRU – Seorang wanita meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Mawai, Batu 31/2 dekat sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata, mangsa yang meninggal dunia dikatakan cedera parah ekoran tersepit dalam kenderaan.
Pihak bomba telah menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pukul 1.16 tengah hari.
“Satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan tujuh anggota bomba dari BBP Kota Tinggi dihantar ke lokasi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati kemalangan berkenaan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis Perodua Alza dan sebuah van jenis Toyota Hiace,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rafi berkata, kereta Perodua Alza dinaiki empat orang dan terdapat satu pemandu serta dua penumpang tersepit manakala kesemua mangsa di dalam van mengalami kecederaan ringan.
“PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera. Bagaimanapun salah seorang penumpang Perodua Alza yang tersepit telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya.
Mohd Rafi berkata, mangsa yang cedera iaitu dua wanita dan tujuh lelaki dihantar ke hospital dengan menaiki jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sekitar 2.40 petang.- MalaysiaGazette