Foto Facebook Azmeer Yusof.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain bola Kedah, Azmeer Yusof berkongsi pengalaman memiliki sebuah kenderaan pelbagai kegunaan eksekutif, Vellfire sehinggalah dia membuat keputusan untuk menjualnya.

Bekas pemain pertahanan kiri itu telah membeli kereta tersebut dengan harga keseluruhan berjumlah RM65,000.

Pada awalnya, Azmeer merasakan pembelian kereta tersebut dianggap sebagai satu anjakan paradigma dalam kehidupannya.

Namun jangkaan tersebut meleset apabila beliau mendapati realiti memiliki kereta mewah tidak semanis yang disangka.

“Saya letak downpayment kereta ini RM50,000. Beli plat number hampir RM10,000. Pasang skirting dan lain-lain dalam RM,5000,” katanya.

“RM65,000 yang saya sangkakan ianya sebagai satu kejayaan. RM65,000 yang saya sangkakan sebagai satu kemajuan dalam karier.

“Walhal menjadi satu bebanan di dalam kehidupan,” tulis di Facebooknya di sini hari ini.

Selain itu, Azmeer turut merasa pembelian aset itu tidak berbaloi memandangkan dirinya jarang menggunakan kereta tersebut.

“Saya bukan seperti orang lain yang bergerak menggunakan kereta. Kadangkala dalam sebulan tidak sampai 10 kali kereta bergerak.

“Sifat dan jiwa saya banyak bergerak menggunakan motor. Lagi-lagi pula kini saya tinggal di Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Azmeer menambah,  komitmen untuk memiliki kenderaan itu juga memakan kos yang sangat tinggi, walaupun kereta tersebut jarang sekali digunakan.

“Bergerak atau tidak Vellfire ini, bulanan tetap kena bayar pada bank sebanyak RM3,300. Cukai jalan tambah insurans hampir RM10,000 setahun,” katanya.

Azmeer Yusof.

Atas beberapa faktor, Azmeer telah berfikir sejenak berkenaan keputusannya untuk menyimpan kenderaan tersebut yang dianggap satu ‘kejayaan’.

“Di mata orang terlihat saya berjaya. Di mata sendiri hanya Allah sahaja yang tahu betapa saya menjadi hamba kerja untuk menampung bulanan kereta ini,” katanya.

Oleh sebab itu, Azmeer mengambil keputusan untuk menjual kereta tersebut yang dianggap satu keputusan yang tepat.

“Selepas menjual kereta berkenaan, beliau dapat berjimat hampir RM5,000 dalam masa sebulan. Jiwa saya menjadi lebih tenang untuk menjalani kehidupan seperti orang-orang biasa,” katanya.

Pada akhir hantarannya, Azmeer menasihati orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang berpadanan dengan pendapatan.

“Nak beli kereta mewah tidak salah. Yang salahnya apabila kita terpaksa bekerja keras hingga tidak dapat ketenangan dalam kehidupan demi untuk membayar sebuah besi yang akan menjadi buruk satu hari nanti.

“Kereta bukanlah satu kejayaan tetapi kereta adalah satu bebanan di dalam kehidupan,” nasihat Azmeer kepada pengikutnya.

Pada Disember 2020, ketika menyarung jersi Kedah dalam saingan Liga Super, Azmeer membuat kejutan apabila dia mengumumkan persaraannya dalam dunia bola sepak.

Dia memberi alasan mahu memberikan tumpuan penuh terhadap bidang keusahawanan dan kebajikan di mana dia mengilhamkan idea pembinaan Pusat Pengajian Azmeer Yusof di Tongkang Yard, Alor Setar.

Azmeer sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk bermain tanpa menerima sebarang bayaran.

Namun setahun kemudian dia menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan iaitu BRM FC. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sebelum beli pikir berpuluh puluh kali adakah aku mampu berkereta seperti itu. nak bergaya tapi tak mampu. Kereta jenis cam tu memang kos tinggi bagi individu bisnez besar dan teguh, tak de lh masalah berkereta mewah ..

Comments are closed.