BUKIT MERTAJAM – Seorang pemandu lori dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam pada 2 November lalu.
Tertuduh, Mohammad Ezrizal Sazry Zahari, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Ezrizal didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu Koperal Mohd Hilmi Ismail menjalankan fungsi jawatannya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Solok 1, Taman Bukit Indah dalam daerah Seberang Perai Tengah jam 9.30 malam pada 2 November lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Nurul Aini memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal atas faktor kesalahan tertuduh selain memberi pengajaran.
Bagaimanapun, tertuduh mohon hukuman berbentuk denda atas alasan kesal dengan kesalahan yang dilakukan.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara lapan bulan dan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan.
Media pada 3 November lalu melaporkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta curi yang dinaiki seorang lelaki di Jalan Taman Bukit Indah, di sini.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek berusia 20-an berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan polis selepas dikejar hampir lapan kilometer dari kawasan Kulim Hi-Tech. – MalaysiaGazette