Allayharham Salahuddin Ayub

ALLAHYARHAM Datuk Seri Salahuddin Ayub bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 29 Julai lalu.

Kerusi beliau bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah pun diisi melalui pilihan raya kecil yang diadakan pada 9 September lalu.

Bagaimanapun jawatan menteri yang ditinggalkan allahyarham di KPDN telah kosong hampir empat bulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemangku jawatan tersebut iaitu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali pada 30 Julai lalu.

Pada tarikh tersebut, Anwar turut mengumumkan  pengganti Salahuddin akan dibuat selepas pilihan raya diadakan di enam negeri dan ia telah diadakan pada 12 Ogos lalu.

Kini lebih dua bulan telah berlalu sejak PRN diadakan namun pengganti bagi jawatan menteri dan kementerian yang penting kepada rakyat itu masih belum diumumkan.

Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu hanya menjawab “(Tunggu) bila ada calon” apabila ditanya siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan Menteri KPDN.

Semalam ahli Parlimen sekali lagi menggesa supaya kekosongan jawatan tersebut dibuat dengan segera.

Ini selepas mengambilkira pengurusan perbelanjaan peruntukan yang diterima oleh kementerian terbabit selain pelbagai isu kos sara hidup yang melibatkan rakyat.

“Kementerian ini tak perlu menunggu masa terlalu lama (sudah) lebih empat bulan (bekas) menteri penuhnya tidak dapat lagi diisi. Sampai bila kita nak menunggu ketika mana kita sedang menguruskan (perbelanjaan) RM1.88 bilion untuk kementerian ini?

“Saya menyarankan supaya perdana menteri tidak menunggu masa lebih (lama) lagi untuk melantik menteri KPDN. Jangan tunggu lama,” kata Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dari Perikatan Nasional (PN) ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Mujibu

Bagaimanapun bagi pemerhati politik, Mujibu Abd Muis terdapat dua faktor mengapa Perdana Menteri masih belum melantik pengganti Salahuddin.

Pertama menurut Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu terdapat kemungkinan Anwar mahu membuat rombakan Kabinet yang tidak hanya melibatkan jawatan tersebut sahaja.

“Mungkin kerana kalau (jawatan menteri) diisi sekarang memandangkan ada pertimbangan rombakan Kabinet. Kalau nak isi sekarang akan ada rombakan lain. Baik sekali jalan semua.

“Faktor kedua dilihat pemangku menteri (Armizan) menjalankan tanggungjawab dengan baik walaupun tak nampak perubahan sangat tetapi (dia) tidak menimbulkan apa-apa isu panas.

“Menu Rahmah masih berjalan, tidak ada harga barang yang begitu menekan walaupun saya rasa jawatan ini perlu diisi dengan segera,” katanya kepada MalaysiaGazette

Beliau turut menolak andaian bahawa Perdana Menteri menunggu parti Amanah melantik Timbalan Presiden yang baharu iaitu jawatan yang dipegang oleh Salahuddin sebelum ini.

Mujibu berkata, terdapat beberapa ahli Parlimen Amanah yang layak untuk mengantikan Salahuddin sebagai menteri KPDN tanpa perlu menjadi timbalan presiden.

Ini antaranya bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pertahanan.

Turut dilihat berkebolehan adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang merupakan bekas Menteri Kesihatan.

Malah Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan Salahuddin di kawasan itu juga boleh dilantik ke jawatan tersebut.

Beliau menegaskan, Perdana Menteri mempunyai hak dan keistimewaan sepenuhnya untuk melantik sesiapa pun sebagai anggota Kabinet.

Apa yang penting, jelasnya, Kabinet masih berfungsi seperti yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini di mana jawatan timbalan perdana menteri dibiarkan kosong sebaliknya diwujudkan beberapa jawatan menteri kanan.

Untuk rekod, Amanah akan melaksanakan pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah bagi penggal 2023-2026 termasuk jawatan Timbalan Presiden yang kosong berikutan kematian Salahuddin pada Disember ini.- MalaysiaGazette