Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang penjawat awam terjerat dengan sindiket pelaburan yang menjanjikan keuntungn pelaburan sehingga 50 peratus sejak Jun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata,  mangsa terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud itu menerusi aplikasi Telegram sehingga menanggung kerugian hampir RM82,000 daripada wang simpanannya dan pinjaman daripada rakan.

”Pada bulan Jun 2023 mangsa telah menerima pautan daripada WhatsApp yang menawarkan mangsa pelaburan yang menguntungkan di mana mangsa akan menerima keuntungan 20 hingga 50 peratus.

”Mangsa kemudiannya telah menekan pautan dimasukkan ke dalam group Telegram Pelaburan Bit Coin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa yang berusia 40 tahun  telah membuat beberapa transaksi wang ke akaun berbeza dan jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan berjumlah RM81,570.30.

Yahaya berkata, selepas memasukkan wang tersebut, mangsa diminta lagi untuk memasukkan wang lagi kepada suspek.

Bagaimanapun mangsa tidak memasukkan wang tersebut kerana telah merasa dirinya telah ditipu.

Polis Pahang menasihatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dalam masa yang singkat.

”Semakan terperinci dengan agensiagensi kerajaan yang berkaitan perlu dilakukan sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan tertentu.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, Portal Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan. – MalaysiaGazette