Kashif Ansari

KUALA LUMPUR – Malaysia masih menjadi antara destinasi menarik di Asia Tenggara untuk Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) berdasarkan data terkini mengenai program itu termasuk MM2H di Sarawak.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Co, Kashif Ansari berkata, sejak pembaharuan MM2H pada akhir 2021, ia telah menerima 2,164 permohonan dan meluluskan kira-kira 88% daripadanya, atau 1,905.

“Pihak berkuasa di Sarawak pula telah meluluskan 406 permohonan pada penghujung Julai 2023, yang mana sebanyak 700 kelulusan diberi setakat ini untuk tahun 2023.

“Berbanding 21 kelulusan pada tahun 2021, kelulusan setakat ini bagi 2023 merupakan pertumbuhan sebanyak 3,200%,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ansari menambah, kadar kelulusan yang tinggi ini bukti bahawa program ini berjaya menarik minat pembeli yang disasarkan oleh Malaysia.

Mereka yang menjadi pembeli ini cenderung membeli atau menyewa rumah di lokasi pelancongan.

Malah mereka tidak bersaing dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan perumahan.

“Keperluan program Sarawak berbeza daripada program Kerajaan Persekutuan. Di Sarawak, deposit bank minimum ialah RM150,000 (AS$32,000), manakala program Persekutuan memerlukan deposit minimum RM1,000,000 (AS$212,000).

“Program MM2H Sarawak juga mempunyai keperluan pemastautin dan pendapatan tahunan yang lebih rendah daripada program Persekutuan yang baharu. Sebagai contoh, anda mesti menghabiskan 30 hari setahun di Sarawak di bawah termanya, berbanding 90 hari untuk MM2H Persekutuan.

“Dan anda mesti mempunyai minimum pendapatan tahunan RM84,000 (AS18,000) untuk MM2H Sarawak. Program MM2H Persekutuan memerlukan pendapatan tahunan minimum RM408,000 (AS$103,000).

“Data kami menunjukkan peserta MM2H yang paling biasa adalah pesara yang telah jatuh cinta dengan budaya dan gaya hidup Malaysia. Mereka mahu tinggal di sini dan mengetahui lebih lanjut mengenai negara ini.

“Lokasi yang paling mendapat manfaat daripada MM2H ialah kawasan percutian popular dan pasaran rumah kedua di mana gaya hidup paling menarik kepada pesara,” ujarnya.

Ansari berkata, Program MM2H menyediakan Malaysia dengan beberapa faedah ekonomi.

Program ini menarik pelancong dan penduduk berbelanja tinggi yang menyumbang kepada ekonomi dengan berbelanja untuk penginapan, makan, membeli-belah dan perkhidmatan lain.

Perbelanjaan inilah yang menyokong perniagaan tempatan dan boleh membawa kepada penciptaan pekerjaan.

“Program itu juga membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mewah dan jangka panjang, dan pelancong jangka panjang cenderung berbelanja lebih banyak di dalam negara berbanding pelancong jangka pendek.

“Program ini turut membantu Malaysia menarik demografi pelancong baharu, terutamanya pelawat mewah dan jangka panjang. Kepelbagaian ini amat berharga hari ini, memandangkan jumlah pelancong masih lebih rendah berbanding sebelum wabak itu,” tambahnya.

Namun, kata beliau, negara lain turut bersaing untuk pelancong yang sama dan pesaing terbesar Malaysia ialah Thailand, Indonesia, Kemboja, dan Filipina.

Keempat-empat negara menawarkan program visa yang bersaing dengan MM2H dan Sarawak-MM2H.

Setiap negara sentiasa mengemas kini programnya untuk kekal berdaya saing dengan yang lain.

“Namun, MM2H menarik kerana Malaysia membenarkan warga asing memiliki hartanah. Membeli hartanah di sini adalah proses yang mudah, dan warga asing boleh membeli rumah yang terletak di atas tanah dan bukannya hanya pangsapuri, yang dilarang oleh Thailand.

“Kos sara hidup Malaysia juga menarik. Sebagai contoh, kos sara hidup di Manila, Filipina, adalah 12 peratus lebih tinggi daripada Kuala Lumpur. Tinggal di Bangkok kos 25 peratus lebih, manakala Phnom Penh berharga 27 mata lebih.

“Dari empat ibu kota yang program residensinya bersaing dengan MM2H, hanya Jakarta mempunyai kos sara hidup setanding dengan Kuala Lumpur. Data kos sara hidup ini datang daripada Numbeo,” menurut Kasif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast