Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Antara 25 hingga 30 peratus golongan miskin tegar yang berdaftar sebagai penerima bantuan dalam sistem eKasih tidak berminat menyertai program membasmi kemiskinan anjuran kerajaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mereka lebih berminat untuk terus berada dalam program bantuan tunai.

“Yang melibatkan menjana pendapatan ini, mereka tidak berminat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung pemutihan senarai penerima di bawah e-Kasih dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, pagi ini.

Beliau menambah, maklumat itu diperolehkan melalui inisiatif kementeriannya untuk memprofilkan isi rumah miskin tegar dan memadankan mereka dengan program membasmi kemiskinan.

Rafizi memberitahu, situasi itu menimbulkan cabaran kepada kerajaan dalam melaksanakan pemutihan pangkalan data eKasih.

Menurut beliau, kerajaan turut mempertimbangkan untuk mengguna pakai beberapa pemboleh ubah selain pendapatan seperti aset dan lokasi kediaman pada masa akan datang.

“Kita boleh dapat angka yang lebih tepat berhubung kedudukan isi rumah miskin supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih tepat,” jelasnya.

Rafizi turut memaklumkan, hasil pemutihan yang dijalankan, senarai penerima eKasih yang telah dibersihkan kini mengandungi kira-kira 80,000 isi rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast