Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Penularan maklumat tidak sahih dalam media sosial termasuk melalui TikTok mengenai situasi bekalan beras putih tempatan dikatakan menjadi punca pembelian panik oleh orang ramai baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, krisis bekalan bahan makanan tersebut adalah lebih buruk pada 2014 namun pada masa itu, rakyat tidak cemas.

“Pada waktu itu, tidak ada TikTok jadi ramai rakyat tidak cemas, tak tahu tetapi tahun itu yang paling teruk.

“Sekarang ini misalnya (dalam) TikTok kata bulan depan beras tak ada, menyebabkan orang panik membeli secara banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) berhubung isu bekalan beras putih tempatan dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad menambah, krisis bekalan beras putih tempatan juga tercetus ekoran peningkatan mendadak harga beras import.

Menurut beliau, sebelum itu, tidak ramai pengguna membeli beras tempatan kerana harganya yang murah.

“Mydin mengatakan stok beras tempatannya kadang-kadang sampai naik habuk kerana orang tak beli.

“Bila beras import naik harga mendadak maka dia cari beras tempatan,” jelasnya.

Terdahulu, dalam sesi waktu pertanyaan menteri, Mohamad berkata, kerajaan merancang untuk mewujudkan simpanan stok benih padi sah (BPS) agar ia sentiasa mencukupi untuk memenuhi permintaan para pesawah.

“Bila berlaku apa-apa hal maka simpanan stok ini akan digunakan. Kita belum ada simpanan stok benih padi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berhubung isu bekalan BPS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast