Gambar Hiasan. Foto FAREEZ FADZIL, 12 OKTOBER 2021.

GURUN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 2,227 notis saman kepada Pemandu Warga Asing (PEWA) khususnya penunggang motosikal sepanjang operasi di Kedah yang bermula 1 November lepas.

Pengarah JPJ negeri, Aman Shah Hashim berkata, situasi warga asing yang menunggang motosikal disifatkan membimbangkan, meskipun tindakan telah diambil terhadap pemilik kenderaan sebelum ini.

“Notis saman paling tinggi ialah PEWA, jadi kita tak lagi ada toleransi dan sudah ambil tindakan terhadap pemilik dan pemandu kenderaan yang kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal. Paling ramai warga Bangladesh, Pakistan, Rohingya dan sedikit India.

“Jadi, pesan saya buat rakyat tempatan, tolong jangan sewakan kenderaan kepada pendatang asing, walaupun dengan alasan untuk mereka pergi bekerja kerana kita tiada kompromi lagi dalam perbuatan ini, saman bukan sahaja kepada pemandu tetapi pemilik kenderaan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai Op Khas Patuh Bersepadu di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Gurun di sini malam tadi.

Sebanyak 130 anggota penguatkuasaan terlibat dalam operasi itu termasuk Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Aman Shah berkata, sebanyak 780 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 112 kenderaan diambil tindakan melibatkan 138 saman dengan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (1987) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Beliau berkata, antara kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu, kenderaan tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan tamat tempoh dan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi dibenarkan. – Bernama