ahmad fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan sepatutnya menolak sokongan empat Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebelum ini, pemimpin-pemimpin kerajaan menyatakan bahawa mereka menentang perbuatan lompat parti.

“Sepatutnya bila empat Ahli Parlimen ini menukar sokongan mereka, mereka perlu tolak sokongan kerana ia bertentangan dengan prinsip yang mereka amalkan selama ini.

“Apa yang kerajaan lakukan hari ini akan memakan diri mereka mungkin tidak lama lagi, mungkin satu masa lagi,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Baru-baru ini, empat Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadhli memberitahu, sokongan empat Ahli Parlimen terbabit adalah tindakan individu dan tidak boleh dikaitkan dengan parti.

Beliau juga percaya bahawa Bersatu telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang aktiviti tersebut.

“Ya, kita kecewa tetapi kita harapkan mereka yang pergi ke seberang sana dapat menimbangkan semula tindakan mereka untuk menarik balik apa yang telah mereka laksanakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast