KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan empat ahli Parlimen di Sabah.
Bersatu telah memfailkan tindakan undang-undang memohon supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat ahli Parlimen itu kosong.
Hakim Datuk Amarjeet Singh berkata, mahkamah terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk menyoal keputusan Speaker Dewan Rakyat atas kekosongan empat kerusi berkenaan mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan pemohon (Bersatu) dan tiada perintah terhadap kos,” katanya.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu selaku pemohon pada 17 April lepas.
Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen terlibat iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.
Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.
Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat ahli Parlimen itu telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen berkenaan.
Dalam kes itu, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Chetan Jethwani dan Pravin Thangarajoo mewakili kedua-dua pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan, Farah Shuhada Ramli mewakili Jabatan Peguam Negara dan peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin, Wafiy Azman, Woo J Enn dan Choo Shi Jin mewakili responden kedua hingga kelima. – Bernama