Poster penganjuran pertandingan Miss World Noble Queen 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan ratu cantik Miss World Noble Queen yang akan berlangsung bulan depan.

Kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019 di Hong Kong dan dimenangi wakil Perancis, Sonia Mansur.

Pertandingan itu sepi selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, tahun ini menjadi tahun keenam penganjuran dan malam final bakal berlangsung pada 12 Disember depan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Melindungi Persekitaran, pertandingan itu bertujuan meraikan kecantikan luaran dan dalaman, bakat, kebijaksanaan serta mempromosikan kesedaran terhadap persekitaran dan amal kebajikan lain.

Pengasas Miss World Noble Queen yang juga ratu cantik Mrs World Noble Queen Tourism International pageant 2015, Jan Sit berkata, dia berbesar hati mengumumkan Malaysia sebagai tuan rumah bagi pertandingan berprestij itu.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah pertandingan Miss World Noble Queen 2023.

“Ini merupakan peluang berharga untuk kita mempamerkan keindahan dan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia kepada dunia.

“Pertandingan peringkat global ini akan mempromosikan pelancongan Malaysia melalui kepelbagaian budaya dan landskap negara yang kaya dan meletakkan Malaysia di peta dunia bagi pertandingan ratu cantik,” katanya dalam kenyataan.

Acara tersebut akan menghimpunkan 25 delegasi Miss World Noble Queen dari seluruh dunia yang bersaing untuk merebut mahkota berprestij itu.

Antara delegasi itu adalah dari Greece, Moldova, Jerman, Republik Czech, Georgia, Slovakia, Estonia, Belarus, Switzerland, Perancis, Romania Vietnam, Filipina, Indonesia, Kenya, Jepun, India, China dan Malaysia.

Pertandingan itu akan berlangsung selama lapan hari bermula dengan ketibaan peserta pada 5 Disember ini.

Sit berkata, pertandingan itu telah mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Pelbagai program termasuk aktiviti seni dan warisan budaya akan diadakan untuk kesemua peserta sebagai sebahagian daripada pertandingan.

Tambahnya, kesemua peserta akan dibekalkan pengalaman seni dan budaya tradisional serta melawat kawasan tarikan pelancong dan mercu tanda terkenal di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast