Anthony Loke
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh berbanding ringgit dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang menyebabkan harga tiket penerbangan domestik semakin mahal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu menyebabkan kos operasi syarikat penerbangan terutamanya daripada segi harga minyak dan kos sewa pesawat meningkat secara mendadak.

“Namun kita amat mengharapkan supaya lebih banyak penawaran, lebih banyak kapasiti, lebih banyak pesawat terbang.

“Sekiranya lebih banyak kapasiti, penawaran itu lebih banyak maka ia dapat mengimbangkan harga tiket kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung isu tambang penerbangan domestik yang mahal dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai isu kelewatan jadual penerbangan, Anthony berkata, terdapat faktor seperti cuaca yang di luar kawalan syarikat penerbangan.

“Macam mana nak kawal cuaca, kalau cuaca tak baik macam mana hendak terbang?” katanya.

Beliau menjelaskan, pengurusan trafik udara juga bukan di bawah kawalan syarikat penerbangan.

Namun, pada masa yang sama Anthony memberitahu, kerajaan memang merancang langkah untuk memastikan syarikat-syarikat penerbangan meningkatkan pencapaian mereka daripada segi menepati jadual penerbangan.

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast