Pemain Malaysia, Arif Aiman Hanafi diasak pemain-pemain Kyrgyzstan pada perlawanan antara Malaysia menentang Kyrgyzstan sempena Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadiuam Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini kelihatan lebih baik dan kemas berbanding kejohanan Pestabola Merdeka pada bulan lalu apabila tiada lagi rumput yang teruk terkoyak.

Malah hujan rintik seketika pada awal permainan Malaysia dan Republik Kyrgyz tidak memburukkan keadaan padang, sebaliknya membantu kedua-dua pasukan menampilkan gerakan lebih tersusun tanpa gangguan rumput terkoyak.

Ketika rehat separuh masa pertama dalam perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, padang tersebut turut disirami pancuran air dalam usaha mengekalkan kualitinya.

Bulan lalu, keadaan rumput SNBJ yang kelihatan rosak sehingga mengganggu aksi Malaysia dalam saingan Pestabola Merdeka menarik perhatian netizen di media sosial.

Rumput yang ‘koyak’ dan tercabut ketika permainan baru memasuki babak pertama disebabkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam belum cukup matang.

Padang baharu menggunakan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta. – MalaysiaGazette