PUTRAJAYA – Pemimpin Arab disifatkan sebagai manusia yang tuli apabila menolak empat usul dalam Sidang Tergempar Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) pada 12 November lalu.
Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) berkata, perilaku dan keputusan pemimpin Arab tersebut merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat Palestin dan akan diingati sebagai episod luka kegagalan menjaga tapak suci Baitul Maqdis.
Pengarah GSPP, Muhammad Fauzi Asmuni berkata, tindakan Hamas menyerang Israel dengan restu rakyat Palestin seharusnya dilihat sebagai usaha menaikkan maruah pemimpin Arab dan sepatutnya disambut dengan memberi bantuan kepada Palestin dan Hamas.
“Dukacita pemimpin Arab menjadi manusia tuli. Diam, kaku dan bungkam. Di seluruh dunia rakyat turun di jalanan membantah pembantaian oleh rejim Zionis.
“Tetapi pemimpin dunia kuasa besar dan pimpinan Arab tidak pernah mengambil endah suara rakyat. Perbuatan mereka itu bakal menjatuhkan karier politik dan menghumban diri ke neraka,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Sementara itu GSPP membuat lapan tuntutan kepada pemimpin Arab untuk dilaksanakan dengan segera.
Ini antaranya menuntut supaya negara Arab menyertai perang pembebasan Palestin dengan menghantar bantuan ketenteraan kerana ia termasuk dalam jihad melawan musuh Islam dan kewajipan mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
GSPP menuntut supaya sempadan Rafah dibuka secara kekal bagi tujuan menyelamatkan nyawa, mengeluarkan warganegara asing, kemasukan bantuan perubatan, bekalan makanan, air dan bahan api.
“Sekarang pintu Rafah dibuka dan ditutup mengikut kehendak Israel dan kemudian konvoi kemanusiaan itu sampai dalam format yang dikehendaki Israel seperti menghalang kemasukan bahan bakar, bantuan hanya setakat di selatan Gaza dan dihalang ke sebelah utara.
“Pintu Rafah tidak akan berfungsi secara sepatutnya jika negara Arab tidak mengambil langkah dan menguruskan dalam mood perang. Di Gaza mereka perlukan 500 trak bantuan kemanusiaan sehari tetapi yang sampai hanya 100 dan ke bawah, memang tidak cukup,” katanya.
GSPP turut menuntut supaya pemimpin Arab menyediakan belanjawan khas untuk membina semula Palestin seperti sekolah, masjid, hospital sebagai melindungi tanah suci umat Islam dan Masjid al-Aqsa.
Gabungan itu turut mendesak supaya 15 buah negara Arab sepakat menerima dan melaksanakan empat usul yang dibawa dalam Sidang Tergempar Negara-Negara Arab dan OIC.
Usul itu antara lain menghalang penggunaan pangkalan ketenteraan Amerika dan negara sekutu lain di negara-negara Arab untuk menyiapkan kelengkapan ketenteraan.
Membekukan hubungan diplomatik, ekonomi, keamanan, dan ketenteraan Arab dengan Israel.
Mengancam untuk menggunakan minyak dan kemampuan ekonomi Arab untuk memberi tekanan agar menghentikan keganasan.
Mencegah syarikat penerbangan awam Israel melintasi ruang udara negara-negara Arab. – MalaysiaGazette