Seorang petugas majlis perbandaran menurunkan perhiasan Krismas.-Foto Facebook Bethlehem Municipality.

BETHLEHEM – Tempat kelahiran Jesus di Tebing Barat tidak akan menampilkan sebarang perhiasan bagi menyambut kedatangan Krismas bulan depan.

Pihak majlis perbandaran mengisytiharkan bahawa mereka akan menanggalkan semua hiasan yang meraikan cuti tahunan Krismas yang disambut oleh penganut Kristian.

Dalam satu perkongsian di Facebook rasminya, pihak perbandaran Bethlehem berkata, tindakan tersebut sebagai tanda simpati terhadap saudara mara dan rakan sebangsa mereka yang berada di Gaza

“Krew Perbandaran Bethlehem mengumumkan menyimpan semua hiasan Krismas yang dipasang beberapa tahun lalu di kawasan kejiranan di perbandaran ini.

“Dan menghapuskan semua penampilan perayaan sebagai penghormatan kepada para syuhada dan sebagai solidariti dengan rakyat kita di Gaza,” tulis perbandaran itu di Facebook.

Sementara itu, jurucakap perbandaran itu juga memberitahu Telegraph tindakan sebenar mereka berbuat demikian kerana perasaan sedih dan marah dengan situasi yang menimpa penduduk sebangsa dengan mereka di Gaza.

“Sebabnya ialah keadaan umum di Palestin; orang tidak benar-benar menyertai sebarang perayaan, mereka sedih, marah dan kecewa; rakyat kami di Gaza sedang dibunuh sewenang-wenangnya.

“Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali mengadakan perayaan sebegitu sedangkan berlaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan serangan di Tebing Barat.

“Keadaan di Bethlehem tahun ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan suasana sangat menyedihkan dan itulah yang dunia patut lihat, dan menyedari bahawa ini bukan keadaan biasa,” katanya.

Tambah beliau, Bethlehem harus menghantar mesej takziah dan berkabung dengan cara sendiri. Bagaimanapun upacara sembahyang dan keagamaan masih tetap berlangsung.

Serangan ganas Israel yang memasuki hari ke-41 menyaksikan tentera Zionis menceroboh wilayah Gaza dan membunuh lebih 11,500 penduduk termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Tentera regim turut menyasarkan gereja, masjid, hospital, sekolah dan kem pelarian dengan alasan mahu membunuh tentera Hamas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast