wan saiful wan jan
Wan Saiful Wan Jan (dua dari kiri) dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar DAP memfailkan saman terhadap Barisan Nasional (BN) kerana mengaitkan parti itu dengan ideologi komunisme.

Menurut beliau, dokumen ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dikatakan menyebut tentang perkara tersebut.

Wan Saiful mendakwa, dokumen itu turut menerangkan tentang salasilah keluarga bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin DAP.

“Ini bukan satu isu yang ditimbulkan oleh Perikatan Nasional (PN) semata-mata jadi sekiranya ada apa-apa tindakan yang hendak diambil, saya menggesa pihak-pihak dari DAP supaya berlaku adil.

“Pastikan ambil tindakan terhadap mereka yang mencetak dan mengedar buku ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Setakat ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad atas tuduhan mengaitkan mereka dengan keluarga Chin Peng.

Siti Mastura didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Wan Saiful menambah, DAP seharusnya mempertimbangkan tindakan yang sama terhadap BN bagi menafikan tuduhan dalam dokumen tersebut.

“Jangan ambil tindakan undang-undang terpilih,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast