Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Israel bukan lagi menyasarkan Hamas sebaliknya operasi tentera zionis di Gaza merupakan helah untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebelum ini Israel seolah-olah memberitahu dunia sasaran mereka adalah Hamas di utara Gaza dan memaksa penduduk melarikan diri ke selatan.

Bagaimanapun tindakan Israel turut menyerang bahagian selatan Gaza membuktikan mereka berniat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Menurut Dr Mahathir, zionis bukan sahaja menyasarkan hospital tetapi juga Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya yang terletak di selatan Gaza.

“Lokasi pusat di Khan Younis, di Selatan Gaza, tidak memberi kesan kepada rejim Zionis Israel. Walaupun telah berkata sebelum ini bahawa mereka tidak akan menyasarkan selatan, ia terbukti sebagai lip service.

“Serangan kini bertukar menjadi operasi pembunuhan beramai-ramai orang awam dan bukan pejuang Palestin. Ia bukan perang antara tentera, tetapi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel untuk menyingkirkan Gaza daripada penduduk Palestinnya.

“Pengeboman hospital dan kediaman, dan kini menjadi pusat fisioterap  membuktikan bahawa Israel menyasarkan pusat-pusat ini secara sengaja,” katanya dalam kenyataan.

Tentera zionis mengebom Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya pada 7 November lalu dan pada ketika itu terdapat lima keluarga Gaza menjadikan ia sebagai tempat perlindungan.

Keluarga terbabit melarikan diri dari utara Gaza selepas rumah mereka dibom dan seramai empat maut dalam pengeboman itu.

“Saya telah berkabung atas pengeboman dan kemusnahan hospital dan pusat perlindungan lain di Gaza sebelum ini tetapi saya mempunyai pertalian peribadi untuk hospital ini. Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang saya ahli, terlibat secara langsung dalam pembinaannya sejak awal lagi.

“PGPF, bersama Humanitarian Care Malaysia, Muslim Care Malaysia, Media Prima Humanitarian Fund dan Persatuan Amal untuk Bantuan Palestin membantu membinanya dan ia telah beroperasi sejak 2019,” katanya kecewa.

Menurut Dr Mahathir, tidak ada apa yang boleh dilakukan selain membantah dan berdoa agar rakyat Palestin dihindarkan daripada kekejaman Israel.

Katanya, kekejaman Israel tidak dapat dihentikan kerana sekutu Zionis terutama Amerika Syarikat dan United Kingdom membenarkan dan menyokong kebiadaban rejim zionis.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Assalamualaikum wbt,kalau kemudahan dan harta benda HAK milik orang Malaysia sudah dizalami dan dihancurkan oleh Israel laknatullah99 takkan kerajaan boleh berdiam diri lagi,cuba ambil tindakan lebih tegas lagi.Zionis memang dah pengikut syaitan dan dajjal…..tepuk dada tanya iman…. maaf 99 kan saya jika komen saya boleh menyakiti hati sesama kita rakyat Malaysia.

Comments are closed.