Seramai 218 pegawai dan anggota yang merupakan kumpulan terakhir MALBATT Malaysian Battalion 850-10 selamat tiba selepas menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan sempena Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir MALBATT Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2023.

SUBANG – Penugasan misi MALBATT 850-10 lebih mencabar daripada misi-misi sebelumnya ekoran konflik Israel-Palestin, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Konflik itu memberi kesan kepada keselamatan di selatan Lubnan dan menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT 850-10.

“Pengalaman tuan-tuan dan puan-puan menyaksikan dan mendengar letupan roket, artileri, mortar dan serangan pesawat udara perlu dijadikan pengalaman berharga untuk dikenang sepanjang hayat dan ia juga menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara agar keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi ini terus terpelihara dan terjamin.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman mengangkat tabik hormat ketika hadir Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir MALBATT Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2023.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kontinjen Malbatt 850-11 agar misi pengaman di Lubnan dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya,” katanya dalam ucapan sempena kepulangan kumpulan terakhir itu di sini hari ini.

Kumpulan terakhir Batalion MALBATT yang dihantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 40 pegawai, 171 anggota lain-lain pangkat ATM dan satu pegawai, enam anggota lain-lain pangkat dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke Lubnan selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia hari ini.

Kontinjen yang diketuai oleh Kolonel Mohd Rizman Ramli itu berkekuatan seramai 850 anggota terdiri dari 84 pegawai  dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari ABDB serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.  

Dalam pada itu, Mohammad berkata, kepulangan kumpulan keempat itu melengkapkan  keseluruhan kekuatan pegawai dan anggota Malbatt yang telah melaksanakan misi unifil di Lubnan yang bermula 12 November tahun lalu.

“Pengorbanan, jasa dan bakti yang dicurahkan amatlah disanjung tinggi dan dihargai. Penglibatan misi UNIFIL di lubnan yang bermula dari tahun 2007 sehingga kini telah menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

“Sikap profesional dan komitmen yang tuan-tuan dan puan-puan pamerkan bukan sahaja berjaya menguatkuasakan resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB malah kontinjen ini telah memperlihatkan kemampuan Malaysia dalam melaksanakan misi keamanan di Lubnan.

“Selain itu, ia juga berjaya meningkatkan reputasi ATM dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Secara keseluruhannya, prestasi yang dipamerkan oleh Malbatt 850 – 10 di Lubnan amatlah membanggakan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kontinjen MALBATT 850-10 telah mula diaturgerakkan ke Lubnan pada 27 Oktober 2022..  

MALBATT 850-10 dengan rasminya telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada MALBATT 850-11 yang diketuai oleh Kolonel Burhan Sagoni pada 14 November lalu untuk meneruskan tugasan UNIFIL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast