Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan  (KKM) mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, melalui tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, sebanyak 3,453 tawaran kompaun bernilai RM1,726,500 telah dikeluarkan sebagai langkah pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi.

“Tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diambil oleh KKM.

“Orang ramai serta semua pihak diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Muhammad Radzi, sejumlah 385 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 137 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM262,160.

Sementara itu,  melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sebanyak 10,051 notis kesalahan telah dikeluarkan daripada 22,361 premis yang dilawati.

Tambah beliau, 6,290 kompaun telah ditawarkan sebagai tindakan penguatkuasaan, dengan nilai tawaran keseluruhan mencecah RM1,457,300.

“Daripada 22,361 premis yang dilawati, sejumlah 10,051 notis kesalahan dikeluarkan kepada premis-premis yang didapati Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Katanya, 6,273 premis makanan telah diperiksa di bawah penguatkuasaan Akta Makanan 1983.

“Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 163 premis iaitu 2.60% daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa,” ujarnya.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette