Bank Negara Malaysia
Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berucap mengenai statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga 2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka terjejas sekiranya konflik di Gaza berpanjangan.

Menurut beliau, konflik terbaharu antara Israel dan Hamas itu boleh menyebabkan pasaran kewangan menjadi tidak stabil dan harga komoditi meningkat.

“Gangguan rantaian bekalan di seluruh dunia juga boleh berlaku seperti yang dapat dilihat ekoran konflik Rusia-Ukraine,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Sasana Kijang di sini hari ini.

Abdul Rasheed memberitahu, ketika ini, kesan konflik tersebut terhadap pertumbuhan ekonomi dunia agak terkawal dengan kesan yang kecil terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau menambah, pendedahan perdagangan dan perbankan Malaysia di Asia Barat adalah sangat rendah iaitu masing-masing pada kadar 4.9 peratus dan 1.7 peratus daripada nilai keseluruhan aset luar.

“Kita akan memantau perkembangan ini dengan teliti,” jelasnya.

Sementara itu, berhubung kesan pelaksanaan subsidi bersasar terhadap kadar inflasi, Abdul Rasheed menjangka kerajaan mempunyai beberapa mekanisme yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga.

Menurut beliau, langkah yang sama pernah dilakukan oleh kerajaan selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan pada 2015.

“Ia termasuk meluluskan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, meningkatkan penguatkuasaan melalui penubuhan pasukan petugas khas dan menyiarkan senarai harga barangan kawalan,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, pemantauan kali ini juga akan mengenal pasti sama ada kenaikan harga berpunca akibat kejutan bekalan atau peningkatan permintaan. – MalaysiaGazette