SAN FRANCISCO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan mengenai pertumpahan darah yang berlaku di Semenanjung Gaza di tengah-tengah serangan udara dan darat Israel yang tidak henti-henti.

“Apa yang berlaku di Gaza jelas merupakan pengabaian tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku dan mengakibatkan malapetaka iklim,” katanya pada Majlis Dialog Tidak Rasmi dan Makan Tengah Hari Pemimpin Ekonomi APEC yang turut disertai Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden serta seluruh pemimpin ekonomi anggota.

Serangan itu telah menyebabkan lebih 11,000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak manakala lebih 29,000 dilaporkan cedera setakat ini.

Sejak kehadiran Perdana Menteri di San Francisco, Anwar telah membangkitkan isu krisis kemanusiaan di Palestin.

“Krisis kemanusiaan di Palestin akan memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Palestin atau rantau Timur Tengah secara meluas, tetapi juga kepada hubungan global untuk satu tempoh yang panjang.”

Ia adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, katanya pada syarahan khas bertajuk: Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific, di University of California pada Rabu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata negara maju perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memikul tanggungjawab dan membantu negara membangun dalam peralihan tenaga.

Pada masa ini, ekonomi membangun dan ekonomi sedang pesat membangun tidak mendapat sokongan yang tepat yang diperlukan untuk peralihan tenaga dari negara maju.

“Memastikan peralihan yang adil dan saksama adalah penting,” kata beliau.

Malaysia, katanya merupakan satu daripada 17 negara yang diiktiraf sebagai mega kepelbagaian – kedudukan kritikal dalam mengejar kelestarian global dan memerangi perubahan iklim.

“Malaysia menghasilkan 0.658 peratus daripada pelepasan rumah hijau global – kira-kira dua pertiga peratus. Tetapi perubahan iklim menimbulkan risiko pemindahan sehingga satu perempat daripada penduduk kita jika sedikit atau tiada apa yang dilakukan.”

Beliau berkata Putrajaya sedang mengubah ekonominya dan melabur dalam masa depan yang lebih bersih dan hijau termasuk melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

Syarikat minyak nasional, Petronas juga telah memberi komitmen untuk laluan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Perdana Menteri memuji Biden dan Presiden Xi Jinping  berhubung pertemuan dua hala mereka di luar APEC sambil menegaskan bahawa penglibatan China-AS adalah kunci untuk masa depan APEC. – BERNAMA