KUALA LUMPUR – Prestasi pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara yang menggalakkan tahun ini akan memberi sokongan kepada nilai ringgit.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi negara diunjurkan berkembang sekitar 4 peratus tahun ini dan disusuli antara 4 hingga 5 peratus tahun depan meskipun dalam persekitaran global yang mencabar.
“Pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berkembang berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Sasana Kijang di sini hari ini.
Abdul Rasheed menambah, ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik manakala pelaburan akan disokong oleh kemajuan selanjutnya dalam projek infrastruktur berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin.
Beliau yakin bahawa langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi.
“Prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada permintaan luar yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.
“Walau bagaimanapun, wujud faktor yang mungkin menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih tinggi iaitu aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan, permintaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang pulih dengan lebih kukuh serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih pantas,” jelasnya.
Beliau memberitahu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal berkurang bagi tempohseterusnya tahun ini disebabkan terutamanya oleh keadaan kos yang lebih rendah.
Abdul Rasheed berkata, keadaan itu dijangka berterusan untuk tempoh seterusnya tahun ini di mana inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2.5 hingga 3 peratus.
“Pada masa hadapan, risiko terhadap prospek inflasi kekal sangat bergantung pada perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette