Seramai 218 pegawai dan anggota yang merupakan kumpulan terakhir MALBATT Malaysian Battalion 850-10 selamat tiba selepas menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan sempena Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir MALBATT Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2023.

SUBANG – Ketua kontijen MALBATT 850-10, Kolonel Mohd Rizman Ramli mengakui penugasan misi ke Lubnan kali ini lebih mencabar disebabkan oleh konflik Israel-Palestin.

Menceritakan pengalaman setahun bertugas di Lubnan, Mohd Rizman berkata, mereka banyak mendengar letupan misil dan artileri kerana berada kurang 25 kilometer dari sempadan negara bergolak itu.

Kejadian itu, katanya, banyak membina karakter 850 anggota MALBATT kali ini supaya lebih berjaga-jaga dalam meneruskan tugas dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ia sedikit menjejaskan pengoperasian kami di Lubnan kerana berlaku krisis di sempadan Lubnan-Israel, ia telah beri sedikit kesan tapi tidak menjejaskan moral dan semangat kami MALBATT 850-10 yang telah diamanahkan.

“Boleh kedengaran bunyi letupan artileri atau pun serangan udara yang kita tidak tahu daripada siapa yang berlaku di sempadan,” katanya kepada media dalam program penerimaan MALBATT 850-10 di Pangkalan Tentera Udara Malaysia di sini hari ini.

Ketua Kontinjen, Kolonel Mohd Rizman Ramli bercakap kepada media selepas selamat tiba menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan sempena Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir MALBATT Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2023.

Jelasnya, sebanyak 48 negara berada dalam misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) dan Malaysia bertugas dengan empat buah negara lain iaitu Itali, Ireland, Korea Selatan dan Ghana.

Dalam pada itu, Kapten Sani Singh A/L Shabag Singh, 31, berkata, misi ke Lubnan merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Kapten, Sani Singh Shabag Singh, 31 bercakap kepada media selepas selamat tiba menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan sempena Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir MALBATT Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2023.

Tambah Sani, biar pun seringkali terdapat letupan misil di sekitar kem namun tiada kecederaan direkodkan bagi misi MALBATT 850-10 kali ini.

“Dengar letupan bila kami sudah di penghujung misi, banyak letupan yang berlaku, setakat ini anggota MALBATT 850-10 mengutamakan keselamatan masing-masing dan bila ada arahan kita untuk masuk ke dalam bunker, kita ikut arahan.

“Tidak kecederaan di pihak MALBATT 850-10 masa letupan. Saya pertama kali dengar letupan bom, misil meletup dan tembakan artileri,” katanya.

Laskar Udara I (W) Nur Ameylya Natasha Asral, 24, pula berkata disebabkan konflik tersebut, dirinya telah diajar untuk bersiap sedia dalam apa juga keadaan.

Bagaimanapun, dirinya tetap risau akan konflik berkenaan namun harus mengutamakan tanggungjawab negara.

“Bila dengar letupan, saya risau fikirkan keadaan keluarga di Malaysia tapi disebabkan kita ada tanggungjawab yang besar kepada negara, jadi kita tolak tepi kerisauan dan menjalan tugas yang diberikan,” katanya.

Seramai 177 anggota terdiri daripada 40 pegawai, 171 anggota lain-lain pangkat ATM dan satu pegawai, enam anggota lain-lain pangkat dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke Lubnan selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia, hari ini.

Kumpulan itu adalah yang terakhir tiba daripada 84 pegawai  dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari ABDB serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan yang dihantar selama 12 bulan bagi misi UNIFIL di Lubnan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Misi MALBATT 850-10 mencabar ekoran krisis Palestin – PAT