Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak APEC 2023 di California, AS, kelmarin. - Gambar: Facebook rasmi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Malaysia, Brunei dan Indonesia menggesa gencatan senjata kemanusiaan yang kekal dikuatkuasakan segera bagi menamatkan konflik di Gaza.

Perkara itu ditegaskan oleh pemimpin-pemimpin tiga negara berkenaan hari ini sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang berakhir semalam.

“Kami turut menekankan tentang keperluan menyediakan barangan dan perkhidmatan penting dengan segera, berterusan, mencukupi dan tanpa halangan kepada orang awam di Gaza,” kata mereka dalam kenyataan media bersama, hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara berasingan daripada Pengerusi Sidang Kemuncak APEC 2023 bagi memberi gambaran yang lebih baik dan adil tentang perbincangan mengenai bencana kemanusiaan di Gaza.

Malaysia diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia, Joko Widodo mewakili negara masing-masing.

Kenyataan ketiga-ketiga negara itu menegaskan semula mesej resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Bersama Negara-negara Islam dan Arab di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini mengenai keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kami memerhatikan dengan penuh kebimbangan tentang penderitaan manusia yang besar dan kesan buruk akibat peperangan dan konflik di seluruh dunia.

“Kami menekankan bahawa konflik boleh mempunyai kesan yang ketara terhadap ekonomi global,” jelas mereka.

Malaysia, Brunei dan Indonesia menyatakan, penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin hanya boleh dicapai secara aman berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

“Termasuk resolusi A/ES-10/L.25 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan resolusi 2712 Majlis Keselamatan PBB (UNSC) serta mengikut undang-undang antarabangsa, berdasarkan penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin,” kata mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast