Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima deposit simpanan sebanyak RM228.8 juta menerusi Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 yang dijalankan sepanjang Oktober lepas.

PTPTN menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah tersebut melepasi sasaran awal iaitu RM220 juta dan ia menunjukkan pencapaian melebihi 104 peratus.

Katanya, dengan pencapaian itu ia jelas menunjukkan masyarakat Malaysia mempunyai tahap literasi kewangan yang baik dan mempunyai kesedaran untuk membuat penabungan demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim menerusi kenyataan sama berkata, penganjuran BMS 2023 menunjukkan bahawa PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan
Tinggi (KPT) sentiasa komited dalam usaha memacu perancangan kewangan jangka masa panjang untuk tujuan pendidikan.

Menurutnya, berdasarkan kejayaan kutipan deposit Simpan SSPN pada BMS 2023 yang melebihi sasaran, jelas menunjukkan bahawa setiap usaha dan strategi yang dirangka mendapat sokongan padu masyarakat Malaysia Madani.

“Hal ini membuktikan ibu bapa semakin cakna dengan pengurusan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak dalam melahirkan generasi modal insan yang berkualiti tinggi.

“Kekallah menjadi superhero sepanjang masa untuk anak-anak dengan membuat perancangan kewangan dari awal bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.

“Pendidikan memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai satu laluan untuk melahirkan modal insan yang berguna tetapi juga menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Norliza Abdul Rahim

BMS merupakan usaha pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN sejak 2018 bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan.

Tahun 2023 merupakan tahun keenam penganjuran BMS bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Program berkenaan buat julung kalinya diadakan secara on-ground event menerusi konsep jelajah atau road tour merentasi
14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia.

Pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan yang disertai oleh ibu bapa dan anak-anak dari semua lapisan masyarakat sepanjang program ini berlangsung.

Sementara itu, PTPTN mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh masyarakat Malaysia di atas komitmen dan usaha yang ditunjukkan dalam membudayakan sikap menabung dengan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan terbaik.

PTPTN katanya, akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan ibu bapa kepada pinjaman pendidikan.

PTPTN yakin usaha itu akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai “Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Utama Negara”.

“Pelbagai keistimewaan dan manfaat disediakan kepada pendeposit Simpan SSPN seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast