Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada sidang media pengumuman calon BN pada PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, 13 November lalu.

KUALA LUMPUR – Kekuatan personaliti yang dimiliki calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berupaya mengembalikan kerusi Parlimen Kemaman menjadi ‘biru ori’.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekukuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan juga akan menyumbang kepada kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini.

Menurut beliau, faktor-faktor tersebut menyebabkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terpaksa tampil menjadi calon Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun kita perlu akui, Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang fokus membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan negeri bukan menyimpan hasrat hati untuk menambah jawatan lagi.

“Sudah sampai masanya rakyat memilih wakil untuk berkhidmat bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik ‘dah cukup jumlah’ yang tidak henti-henti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai proses penamaan calon PRK Parlimen Kemaman hari ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan Ahmad Samsuri.

Presiden UMNO itu yakin Raha Mohamed Affandi amat memahami sejarah Kemaman, kerana beliau membesar bersama keluarga tercinta dan telah menabur jasa di daerah tersebut.

Beliau berkata, kemenangan calon BN berkenaan pasti akan memangkin ekonomi dan kemakmuran kawasan Parlimen Kemaman.

“Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengakui bahawa laluan kemenangan BN bukan semudah yang diinginkan walaupun perbuatan merasuah pengundi Kemaman telah dibuktikan di mahkamah.

“Tetapi dengan gerak kerja tersusun BN, saya yakin pengundi Kemaman bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan kawasan Parlimen ini,” katanya.

Beliau menasihatkan jentera BN untuk berkempen secara sihat serta berhemah serta jangan terikut-ikut cara pihak yang sarat dengan caci maki dan fitnah.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kerusi Parlimen tersebut sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat BN namun terlepas ke tangan PKR pada PRU-10 dan Pas pada PRU-14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast